THE RAJA SIR TUN UDA AL HAJ BIN RAJA MUHAMMAD FAMILY WEBSITE

Click crest for bigger view

 

Majlis Menyambut Ulangtahun ke-80 Y.A.M Bonda Tengku Puan Nor Sa’adah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah

Cahaya Kebahagiaan

Pada 07 November 1922, di Istana Bandar, pekan Bandar, pusat kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan pada ketika itu dibawah ta'alok DYMM Paduka Sultan Ala'eddin Suleiman Shah, lahirlah seorang putri Baginda yang diberikan nama, Nor Sa’adah bermaksud, “Cahaya Kebahagiaan”.

Melalui Bondanya Yang Teramat Mulia, Tengku Ampuan Fatimah binti Sultan Idris yang bersemayam di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak, maka bercantumlah kedua-dua kerabat Di-Raja Negeri Selangor Darul Ehsan dengan Negeri Perak Darul Ridzuan, yang telah membawa kebahagiaan kepada turun temurunnya sehingga hari ini.

Istana Mahkota

Dari Istana Bandar, keluarga Baginda telah berpindah ke Istana Mahkota Kelang, dimana Tengku Nor Sa’adah telah dibesarkan, sentiasa diiringi oleh inang-inangnya, Kak Beta dan Kak Lily, serta adinda-adindanya, Tengku Nor Anwar dan Tengku Khaladiah yang sentiasa berpakaian seragam, bersarung kaki, bergelang kaki dan berutaskan rantai emas bermanik-manik dileher yang jinjang itu. Dianjung timur Istana Mahkota pula, adinda mereka Tengku Muhamad Yusof Shah dan Tengku Abdul Rahman, dibesarkan bersama putra-putra yang lain tanpa mengetahui cara hidup putri-putri Di-Raja ini.

Ketiga-tiga putri Sultan Suleiman telah dari awal-awal lagi dididik menghormati konsep persaudaraan, bersaling cinta mencintai antara adik beradik dan sepupu, yang mana, ianya terus berkekalan diantara putri-putri ini dari mereka masih  anak dara sehingga berkahwin dan akhirnya berkeluarga. Putri-putri ini terdiri dari Tengku Seha, Bonda kepada Tengku Zaid, Tengku Nor Akmar, Bonda kepada Raja Faridah dan Tengku Hamizah, Bonda kepada Tengku Fozimah. Mereka juga bersama-sama menerima didikkan dari Mrs Mark seorang tutor keturunan bangsa Inggeris, yang mengajar Bahasa Inggeris, membaca, bermain tennis dan senaman.

Anak-anak Raja ini bersama Bonda telah dihantar ke Sekolah Melayu terletak dibawah Bukit Istana Mahkota dengan menaikki sebuah bas yang tingkapnya ditutup dengan langsir berwarna kuning. Kemana-mana putri-putri Sultan Suleiman berjalan, mereka dikehendakki memakai tudung kepala dan muka bertutup kecuali nampak hanya dua anak mata sahaja.

Perkahwinan

Pada tanggal 30 Julai 1939, lebih setahun selepas mangkatnya Almarhum Sultan Suleiman, Tengku Nor Sa’adah menaikki pelamin dan dengan restui Allah S.W.T, maka perkahwinan ini telah kekal sepanjang 37 tahun sehingga habisnya hayat Raja Tun Uda pada tahun 1976.

Perkahwinan yang berlangsung di Istana Mahkota, Kelang, diadakan dengan penuh adat istiadat bagi seorang Puteri Di-Raja. Lengkap dengan persandingan dipetarakna takhta kerajaan Negeri Selangor diikuti dengan bersiram serta bersalin pakaian mengikut resam dan kaedah orang tua-tua.

Gambar-gambar ini amat bersejarah bukan sahaja menunjukkan pakaian, dan citarasa perkahwinan pada tahun 30an tetapi oleh kerana tukang gambar, bernama, Nakiyama, ialah seorang "spy Jepun" yang mengintip gerak geri Sultan, dan Bandar Di-Raja Kelang, serta Pelabuhan Kelang, untuk menyediakan pergerakan askar Jepun untuk mendarat di Tanah Melayu dan menakluki Kerajaan British di Malaya.

Bonda Menatang Ninda Tah

Bergambar merupakan satu cara kenangan yang kerap kali dilakukan oleh sesuatu keluarga. Begitulah juga untuk Keluarga Raja Uda, dimana Bonda Tengku Nor Sa’adah, biasanya dikelilingi oleh putra dan putrinya mengikut susun paku.

Semasa tinggal dirumah Menteri Besar di Princess Road, Kampung Baru, Ninda Tah kerap berangkat ke Kuala Lumpur untuk ‘makan angin’ apabila adinda Zul bercuti sekolah ataupun datang beraya. Bonda pun sibuklah menyediakan “bilik Tah” disebelah hadapan menghadap Princess Road. Cucu-cucu Tah pun duduk “berlepak” di anjung mendengar Tah bercerita ataupun mendengar lagu-lagu yang diputarkan dari piring hitam, terutama sekali lagu Ayoh-ayoh Ramasamy sebelum ianya diharamkan oleh  Radio Malaya.

Pada tahun 1952, Ninda Tah berangkat ke tanah suci Mekah bersama dengan adinda Zul dan diiringi dengan Hajah Adoyan. Bonda dan adik beradik bersama Ayahanda telah bergambar dianjung Rumah Menteri Besar, yakni Almarhum, Tengku Mohsin dan Almarhum Raja Mohd Ridzwan serta Bondanya.

Adakalanya, Bonda dan Ayahanda berangkat ke Kelang dihujung minggu. Mula-mulanya tinggal di Istana Kelang sehingga rumah kediaman siap. Ramai juga keluarga Raja Uda ketika itu, seperti terlihat bergambar ditangga rumah ini. Masa itu, Kekanda Raja Redzwa masih lagi bujang (tetapi telah bertunang!). Kekanda Raja Kamaruddin berada di London melanjutkan pelajaran dalam jurusan Undang-Undang di Lincoln’s Inn. Kekanda Raja Jalaluddin bekerja di Jabatan Penerangan, sepupu-sepupu yang lain seperti Abang Yob, Abang Badri turut belajar. Kak Saliah bersekolah di Convent Bukit Nanas, Mak Mah pengasuh Raja Arshad, Anwari anaknya bersekolah, Sebastian, tukang kebun dan Samy, pemandu kereta.

Di Kelanglah, Bonda  asyik membuat rakaman lagu-lagu Arab di peti tape recorder dan telah mengundang, Ustaz Hassan Ashaari yang ketika itu guru disekolah Arab Perempuan berhampiran  dengan Istana, untuk dirakamkan menyanyi lagu-lagu Arab oleh Abdul  Wahab penyanyi terkenal dari Al-Masri.

United Kingdom 1953-1954

Perasaan sedih dan duka dirasai apabila pada bulan April 1953, Bonda siap menyiap untuk berangkat ke United Kindom (UK) mengiringi Ayahanda yang dilantik menjadi wakil Malaya dan Singapura ke United Kingdom. Buat kali pertamanya, bercerai-berailah adik-beradik, sepupu dan anak-anak angkat yang selama ini duduk dibawah satu bumbung di Kampung Baru, masing-masing mengikut hadzrat Illahi.

Selama satu tahun setengah Bonda tinggal di Flat No.15, York House, Kensington, London menjalankan tugas sebagai isteri kepada Wakil negara diluar negeri; sebagai ibu kepada  4 orang anak yang turut bersama. Hidup dinegeri yang sejuk, bumi dilindungi salji menjadi kenangan abadi oleh kerana adanya kasih sayang dan saling bantu membantu diantara satu sama lain. Namun begitu, yang memikul beban adalah “Mummy dan Daddy” pasangan Haji Zainal Abidin bin Saiban dan isterinya, Hajah Rafeah bte Abdullah, yang telah berhijrah bersama-sama ke London.

Bonda turut Ayahanda ke majlis-majlis rasmi dimerata-rata cerok di UK yakni berjumpa pelajar-pelajar di Universiti, guru-guru di Kirkby College, Liverpool, berhari raya di Masjid Woking dan di Malaya Hall, diupacara pamiran serta majlis-majlis makan malam. Bonda sentiasa memakai baju kebaya pendek sutra berkain songket, bersepatu dan bertas tangan dibuat dari tekatan Melayu yang melambangkan satu imej wanita Melayu yang lengkap dari segi persolekan dan pemakaiannya. Tidak kira siapa pun bertemu dengan Lady Uda, Bonda tetap mengharumkan nama keluarga, kerabat dan keturunan Di-Raja, bahkan jua nama negara.

Walaupun Bonda segan hendak bertutur dalam Bahasa Inggeris, dalam hatinya terkandung segala jawapan dan inilah yang dilimpahkan disebalik senyuman manisnya.

10 Tahun  di Residency  Pulau Pinang

Malaya Merdeka

Mulai 1 September 1957, Bonda sekali lagi meninggalkan Kuala Lumpur untuk berhijrah ke Pulau Pinang dengan perlantikan Ayahanda sebagai Gabenor Yang Pertama Negeri Pulau Pinang dan Seberang Prai. Sekali lagi, keluarga bercerai-berai, meninggalkan rumah kediaman Speaker Legislative Council, di Jalan Maxwell, yang dikenali dengan nama rumah JKR yang tidak siap, disimpang 7, Lake Gardens. Rumah Speaker kini diguna sebagai Pejabat  ISIS. Ada yang pindah ke Kampung Pandan dan ada yang balik ke Kelang.

Sebagai Consort kepada Gabenor, Bonda tidak putus-putus menghadiri majlis rasmi seperti keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung dan Raja Permaisuri ke Pulau Pinang, lawatan Pembesar-pembesar dari luar negeri, Dr

Djuanda dari Indonesia, Prince Sihanouk dari Cambodia serta King dan Queen Sirikit dari Thailand. Disamping itu, jamuan makan malam menyambut hari kebangsaan, hari kebesaran kaum-kaum yang ada dan berbagai majlis-majlis lain lagi termasuk  jemputan dari pertubuhan Wanita dan sukarelawan  seperti anak-anak yatim, dan  orang-orang cacat.

Selamat Tinggal Pulau Pinang

Dengan rasa terharu Gabenor Pulau Pinang, Raja Tun Uda bersama Consortnya, Tengku Puan Nor Sa’adah, meninggalkan  Pulau Mutiara, apabila genapnya tempoh perlantikan sebagai Ketua Negeri pada bulan Ogos 1967. Sungguh banyak pengalaman, sungguh kaya dengan kenangan untuk ingatan bagi anak cucu dan cicit bagi masa hadapan. Sebagai public figure first lady dikhalayak ramai, Bonda sentiasa menunjukkan semangat yang kuat dan menghormati institusi masyarakat yang mengundangnya. Justeru itu, berhias menjadi satu keseronokan kepadanya; berpakaian yang sesuai ke majlis adalah untuk menjaga maruah; mengiring Ayahanda merupakan ta’at dan kasih sayang.

Kasih Anak Kepada Ibu

Namun begitu, sebagai Ibu, disitulah tempat anak-anak bergantung ; bukan sahaja semasa kecil tetapi sepanjang umur, selagi adanya perasaan segan, hormat dan kasih sayang yang terpendam didalam kalbu.

Di tahun-tahun kebelakangan ini, Bonda didapati amat seronok bila adanya perjumpaan diantara saudara mara. Melancung melihat negara-negara dan tempat-tempat bersejarah  juga menjadi kegemarannya. Adinda Raja Arshad dan Tengku Eusnie serta cucundanya kerap mengiburkan hati Bonda dengan lawatan seperti ke UK, Australia, Sepanyol dan Turki disamping mengerjakan umrah.

Penutup

Gambar Keluarga Menyambut Hari Keputeraan Yang Ke 70an besar makna.

Pada majlis menyambut Ulangtahun ke-80, patek adik beradik berdoa semoga Allah S.W.T  melanjutkan usia Bonda dan diberkati dengan sentiasa didalam jagaanNya. Amin

Amin Yang Rabul Alamin

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 
 
Search this site powered by FreeFind